OSEM GOMBAK, 11 SEPTEMBER 2025 – Dataran Tangga Besar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini diselubungi semangat patriotisme yang membara apabila warga kampus hadir untuk meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 dan Hari Malaysia ke-62. Majlis gilang-gemilang ini telah dirasmikan oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, yang menyeru seluruh warga universiti untuk terus memperkukuh perpaduan.
Acara bersejarah ini disemarakkan dengan perbarisan kontinjen yang menampilkan kepelbagaian dan keharmonian dalam komuniti UIAM. Perarakan penuh berdisiplin ini melibatkan pelbagai kuliyyah, pejabat-pejabat universiti, serta agensi-agensi lain termasuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Daya Bersih, dan IIUM Educare. Perbarisan bukan sahaja menampilkan disiplin dan semangat juang yang tinggi, malah menjadi lambang kesatuan dalam kepelbagaian.
Sebagai tunjang keselamatan utama, Pejabat Pengurusan Keselamatan (OSeM) tampil memukau sebagai Perbarisan Kawalan Utama. Penampilan mereka yang penuh berdisiplin dan profesional mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Selain itu, OSeM juga mencuri tumpuan dengan perbarisan kenderaan rasmi mereka yang mempamerkan kesiapsiagaan dan kemajuan teknologi.
Antara kenderaan yang dipamerkan termasuklah kenderaan pacuan empat roda 4×4 Hilux, Proton Exora, dan barisan motosikal kawalan keselamatan. Perbarisan ini turut menampilkan kenderaan mobiliti elektrik, Ticker Skuter, yang menjadi simbol komitmen universiti dalam menyokong inisiatif teknologi hijau dan lestari.
Majlis ini bukan sahaja meraikan hari bersejarah negara, tetapi juga menjadi platform untuk mengukuhkan nilai patriotisme dan kecintaan kepada tanah air. Ia juga merupakan bukti kesungguhan UIAM dalam memperkukuh jalinan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan pelajar, staf, dan seluruh komuniti kampus.
Salam Medeka 68! Malaysia Madani, Rakyat Disantuni..