OSEM GOMBAK, 10 SEPTEMBER 2025 – Semangat kesukanan membara di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini apabila Pejabat Pengurusan Keselamatan (OSEM) mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen OSEM ke Sukan Keselamatan Universiti Awam (SUKUA) di Tanjung Malim, UPSI. Majlis ringkas namun penuh bermakna ini disempurnakan sebagai simbolik pelepasan rasmi kontinjen OSEM yang akan beraksi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, bermula 12 hingga 14 September 2025.

Majlis tersebut disemarakkan dengan kehadiran Pengarah OSEM, ASP PB Shahrul Ariffin bin Maskuri, yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen OSEM. Dalam ucapannya, ASP PB Shahrul Ariffin menekankan kepentingan disiplin, kerjasama pasukan, dan semangat juang yang tinggi.

“Bendera yang diserahkan ini bukan sekadar kain, tetapi lambang amanah dan semangat kesukanan yang perlu dijunjung tinggi. Saya yakin dan percaya, setiap anggota kontinjen telah bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan di gelanggang,” ujar beliau.

Kontinjen OSEM yang terdiri daripada 25 orang anggota akan menyertai beberapa acara sukan seperti bola sepak, bola bowling dan Tarik Tali. Penyertaan dalam SUKUA diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara pasukan dan kontinjen daripada universiti awam lain, di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga OSEM.

Majlis diakhiri dengan sorakan semangat daripada anggota kontinjen, menandakan kesediaan mereka untuk membawa pulang kejayaan buat nama OSEM dan UIAM.

 

 

 

By smadi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *